TeMaNKu

Tuesday, January 25, 2011

~10 ZOn LaRanGaN CiNTa~

Percintaan bukanlah satu permainan yang boleh bermula dan berakhir sesuka hati. Oleh itu, bagi mempertahankan sebuah percintaan, jangan sesekali melakukan perkara yang tidak patut dalam cinta. Kamu perlu jujur dan tidak perlu berpura-pura. Tunjukkan sifat kamu yang sebenar dan percayalah orang yang mencintai kamu akan sentiasa menerima kamu seadanya. Selain itu, bagi mempertahankan sebuah percintaan, elakkan dari melakukan perkara-perkara ini dalam hubungan kamu.


1.Bercinta kerana simpati dan kasihan

Kamu tidak akan menjadi dewa/dewi penyelamat jika memaksa diri menerima cinta si dia. Perasaan ikhlas dan jujur itu semestinya tidak akan wujud dalam diri kamu seandainya simpati menjadi sebab mengapa kamu sudi bertaut cinta dengan si dia. Jangan terlalu mudah jatuh cinta hanya kerana kasihan si dia terlalu mengharap pada kamu. Pastikan kamu menerimanya kerana keistimewaan yang dia miliki. Andainya tiada langsung rasa cinta dalam diri kamu padanya adalah lebih baik kamu berterus-terang padanya. Si dia lebih kecewa andainya tahu kamu sebenarnya tidak mencintainya seperti mana dia mencintai kamu. Perlu ingat dalam cinta tiada paksaan semua orang berhak membuat pilihan sendiri mengikut naluri masing-masing.

2. Melirik kepada jejaka/gadis lain

Tidak dinafikan cinta bukannya penghalang untuk kamu meluaskan pergaulan tetapi harus ada batasannya. Mata kamu biasanya cepat saja melirik kepada jejaka/gadis lain. Walaupun niat kamu hanya sekadar cuci mata, namun ia juga boleh membawa kepada kecurangan. Mula-mula jeling-jeling, kemudian berkawan dan tidak mustahil kamu akan jatuh hati padanya pula di kemudian hari. Hargailah setiap yang ada di depan mata. Tidak perlu menjeling pada yang lain selagi yang ada di depan mata kamu sudah cukup sempurna di mata kamu.

3. Bersikap hipokrit

Kamu tidak seharusnya berpura-pura tekun ketika mendengar dia berbicara tentang perkara yang kamu tidak suka. Jangan paksa diri kamu untuk berhadapan dengan semua perkara ini kerana apa yang dikatakan sebenarnya langsung tidak singgah di otak kamu. Hipokrit namanya tu! Biarkan si dia tahu apa yang kamu tidak suka supaya si dia tidak mengulangi perkara yang sama. Namun tegurlah secara baik janganlah sehingga membuatkan dia tersinggung dengan kritikan kamu.

4. Sanggup menyerah kalah

Kamu sanggup menyerah kalah ketika berlawan badminton dengannya semata-mata mahu menjaga hatinya. Jangan takut, tidak salah bersaing dan tidak perlulah berpura-pura. Hubungan kamu dan si dia akan menjadi lebih ceria andainya ada persaingan yang sihat. Hari ini dia kalahkan kamu dan hari esok kamu pula cuba untuk mengalahkannya. Namun persaingan mestilah ke arah yang positif dan boleh variasikan hubungan itu. Janganlah sehingga menjejaskan hubungan kamu dan si dia hanya kerana terlalu serius bersaing.

5. Terima semua kesalahan

Jangan diam sahaja andai si dia melakukan sesuatu perkara yang tidak kamu sukai. Bukanlah menjadi satu kesilapan andainya kamu menegur perbuatannya yang ‘kurang’ itu supaya si dia menyedari dan sanggup berubah demi kebaikan. Biarpun mungkin si dia sedikit tersinggung dengan teguran kamu, namun berterus-terang itu perlu untuk kebaikan kamu berdua.

6. Harus sentiasa bersama

Orang bercinta kebiasaannya mahu berdua setiap masa. Ke mana sahaja pergi tidak mahu ada orang lain menganggu. Namun ini tidak bererti teman-teman kamu harus disingkirkan semata-mata kamu sudah menemui cinta. Apa salahnya kamu masukkan sekali si dia dalam kelompok teman-teman kamu agar si dia boleh membiasakan dirinya. Ada masanya memang kamu perlukan masa untuk berdua, tetapi janganlah asyik berdua sahaja kerana ia boleh menimbulkan rasa bosan juga.

7. Rapat dengan sahabat karib si dia

Kamu sememangnya perlu bergaul dengan orang-orang yang rapat dengan si dia supaya apabila kamu bersama si dia dan teman-temannya, kamu tidak mempunyai masalah untuk bergaul. Namun hati-hati supaya tidak terlalu akrab terutama dengan sahabat karib si dia. Ini boleh menimbulkan pelbagai rasa sangsi atau lebih teruk lagi kalau temannya jatuh cinta padamu. Oleh itu jalan yang paling baik berkawan setakat kenalan biasa. Jangan terlalu baik sehinggakan ambil berat makan minum dan kesihatannya. Daripada kamu terlalu baik sehingga ke tahap itu lebih baik kamu mengenali keluarganya dan berusaha merebut hati kedua ibu-bapanya.

8. Berpura-pura tidak cemburu

Kamu harus dapat membezakan antara sikap percaya dan berdiam diri apabila melihat si dia asyik berbicara dengan jejaka/gadis lain. Cemburu itu perlu ditunjukkan andainya ianya keterlaluan supaya si dia sentiasa menghormati kamu dalam apa jua keadaan. Apabila melihat si dia terlalu asyik berbual dengan jejaka/gadis lain kamu perlu tegur si dia dengan cara yang terbaik. Biar si dia tahu perasaan kamu ketika itu. Tidak perlu sorokkan perasaan kamu hanya semata-mata mahu menunjukkan sikap terbuka kamu sedangkan kamu sakit hati melihat kemesraannya bersama orang lain.

9. Terlalu menerima sikap si dia

Setiap orang memiliki kelebihan dan keburukan tersendiri. Namun itu bukan alasan untuk kamu menerima semua keburukannya. Manusia boleh berubah andainya ada kemahuan. Jangan hanya kerana terlalu menyayangi dirinya, kamu pejam mata melihat si dia melakukan perkara yang menyakitkan hati kamu. Fikirkan insiatif dan berbincanglah dengannya agar sikap buruk itu dapat diubah demi kebaikannya.

10. Biarkan si dia sahaja membayar

Sesekali apa kata kamu cuba bergilir-gilir membayar setiap kali makan atau minum. Perempuan ada kalanya terlalu berkira soal belanja dengan lelaki walaupun kekasihnya sendiri. Sikap ini tidak sepatutnya berlaku kerana dalam sesuatu hubungan perlu ada tolak ansur antara satu sama lain. Barulah hubungan berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah. Tetapi pada kaum lelaki, jangan pula rasa tercabar dan jangan pula ada yang mengambil kesempatan.


No comments:

Post a Comment

awek cun @ ensem boy kata..: